Categories
Gila

Oh! Sumpahan Aishah Masih Hidup

Aishah (bukan nama sebenar) adalah seorang gadis kampung yang pemalu. Dia berhijrah ke ibukota sekitar tahun 1984. Aishah mengalami sejenis penyakit di mana matanya sangat sensitif terhadap cahaya yang terang. Sebab itulah Aishah sentiasa memakai kaca mata hitam. Dan Aishah paling pantang jikalau ada sesiapa yang mengambil gambarnya. Kerana dia sensitif terhadap ‘flash’ yang dikeluarkan oleh kamera. Cahaya yang terang akan menyebabkan Aishah mengalami migrain yang teruk.

Pernah sekali kilang tempat Aishah bekerja mengadakan jamuan tahunan. Jurugambar yang ditugaskan mengambil gambar tiba-tiba ter-snap gambar Aishah. Lantas Aishah terus mengalami sakit kepala yang teramat sangat sehingga berbuih mulutnya menahan kesakitan. Dia meronta-ronta di atas lantai sehinggalah pihak ambulan sampai. Selama 3 hari Aishah ditempatkan di hospital di dalam bilik yang istimewa di mana lampu dipadamkan dan hanya dibuka bila perlu. Jurugambar tersebut juga datang melawat Aishah dan meminta maaf kepadanya.

Sejak hari itu Aishah telah berhenti kerja. Doktor membekalkannya beberapa jenis ubat-ubatan dan disuruh agar berehat untuk satu jangkamasa yang lama. Dia hanya duduk di rumah sahaja dan hanya keluar pada waktu malam di mana cahaya tidak begitu terang untuk membeli makanan. Teman serumah yang simpati dengan keadaan Aishah mengizinkannya tinggal sementara di rumah tersebut tanpa perlu membayar sewa sehingga dia benar-benar sihat untuk pulang ke kampung.