Kami menerima email dari seorang rakyat Malaysia yang kini berdepan dengan risiko dipenjarakan di atas tuduhan menyimpan Pendatang Tanpa Izin. Apapun disebalik kesalahan terbabit, tersimpan pelbagai perkara yang perlu diketahui. Pengirim email ini tiada niat lain selain tidak mahu melihat ada rakyat Malaysia lain yang menerima nasib yang sama seperti dia dan keluarganya. Ikuti keluhan berikut;

ohtidak-simpan-pati

SEBELUM apa-apa, saya terangkan tujuan saya menulis e-mail ini. Saya telah mengadu kepada KDN tentang masalah saya dan mungkin saya akan dihukum kerana menyimpan PATI, jadi sekiranya ia berlaku, saya ingin masyarakat tahu apa yang berlaku.

Lebih kurang 10 tahun yang lalu ketika kami masih berharta, kami pernah mengambil pembantu asing (saya beri gelaran K). Setelah K tamat kontrak dengan kami, kami hantarnya pulang dengan cara yang betul, dan dia pun dah sampai ke negaranya dengan selamat.

Tapi beberapa tahun kemudian, K muncul di pintu rumah kami meminta kami melindungi dia kerana dia lari dari majikan. Kami kenal benar dengan perangai si K ni, jadi kami tak hairan kenapa majikan yang dia katakan tu marah sangat dengan dia. Masalahnya, waktu itu kami sudah tidak berduit untuk menggaji dia, malah kami juga berisiko dihukum oleh kerajaan kalau kami melindungi dia. Tetapi ada lagi satu masalah lain. Oleh kerana K pernah bekerja dengan kami, dia tahu segala selok-belok rumah kami dan rutin-rutin harian kami. Sekiranya kami tidak menerima dia waktu itu, kami bimbang dia akan membalas dendam dengan cara lain. Jadi kami terpaksa benarkan dia masuk.

K bekerja sebagai pembantu rumah kami tanpa gaji sebagai ganti rugi kami membelanya. Kami berjanji dengan K untuk menghantarnya pulang dengan selamat kerana kami tahu ada terlalu banyak penipu yang memperdagangkan orang seperti dia dengan janji-janji palsu. Kami tidak mahu simpan dia lama-lama kerana K ada sikap besar kepala dan panas baran. K tidak tahu yang kami terpaksa bersabar dengan sikap dia kerana keselamatan kami terancam sekiranya dia bebas di luar sana. Itulah juga sebabnya K lari ke sini, kerana dia tahu kami ini mudah dipijak.

Bertahun-tahun kami mencari penyelesaian untuk hantar K pulang, tapi setiap kali ada penyelesaian, duit pula tak ada. K bukan tanggungjawab kami, dan 10ribu itu bukan kecil bagi kami. Program pemutihan pun kami terfikir untuk cuba, tapi setelah membaca syarat-syarat dan kosnya, kami tahu kami tetap tak mampu laksanakan. Tidak terlintas di fikiran kami untuk membuat laporan polis kerana walaupun kami tidak suka kehadiran K di sini, kami tidak pula ingin aniaya dia sehingga dipenjarakan.

Kini K semakin kuat panas barannya kerana dia tak dapat pulang bertemu keluarganya. Saya yang baru habis belajar dan pulang ke rumah ini berusaha cari penyelesaian di internet, dan dari situ saya dapati rupanya ada juga orang lain yang mengalami masalah seperti kami. Saya cuba meminta nasihat mereka, tapi hingga kini saya masih belum dapat jawapan positif dari sesiapa.

Ibu bapa saya sudah tidak bekerja dan kini sayalah yang bertanggungjawab mengambil-alih beban ini daripada mereka. Saya sendiri sudah tidak sanggup hidup dalam keadaan tersepit seperti ini, maka saya memutuskan untuk mengaku segala-galanya dan meminta pertolongan daripada KDN. Nasib saya kemudian takdirlah yang akan menentukan. Selama ini saya risaukan orang tua saya yang akan dihukum. Sekarang saya tidak perlu risau lagi kerana jika ada hukuman sekalipun, sayalah yang akan menanggungnya. Biarlah saya perlu dipenjarakan di umur seawal 25 tahun, asalkan saya tidak perlu stress lagi menahan sabar.

Sekiranya saya dihukum, saya ingin masyarakat tahu yang saya terpaksa menyimpan PATI dan bukan atas keinginan saya sendiri. Dan saya ingin semua orang tahu yang sebenarnya masih ramai orang di luar sana yang mengalami masalah seperti saya, dan kami ini memerlukan bantuan, bukannya hukuman.

Kami bukannya baik sangat sehingga sanggup berkorban segalanya untuk orang lain. Dan kami juga bukannya jahat sangat sehingga sanggup korbankan orang lain untuk keselamatan sendiri.

OHTIDAK: KADANG-KALA NIAT BAIK KITA, SELALU MAKAN DIRI SENDIRI.

Related Posts

Terima Kasih

Oh! A. Samad Said Di Kehendaki Oleh Polis

Oh! Kekayaan ‘Bocor’ Kerana Kereta

Oh! 40,313 Ahli Kongsi Gelap Dan 49 Kumpulan Kongsi Gelap Didedahkan Oleh KDN

Oh! Penjelasan Isu “Rancangan Menghapuskan Sultan?”

Oh! Rancangan Menghapuskan Sultan?


Comments

Reply comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *