Categories
Sengal

Oh! Islam yang tidak didendang di Putrajaya

ohtidak-masjid-besi

Berikut adalah satu artikel seorang penulis yang kami terima berceritakan tentang pengalamannya semasa berkunjung ke Putrajaya tempohari. Kisahnya di sini amat simple di mana keadaan zaman sekarang, masjid di bina dengan begitu besar dan indah sekali tetapi malangnya, ianya tak mampu memudahkan umat Islam untuk menunaikan kewajipan malah lebih teruk lagi, ianya tak ubah sekadar menjadi satu tarikan kepada para pelancong luar. Ikuti artikel berikut:

————

Tanggal 01.01.13, jam 10.21 malam di pintu masuk utama Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin terlembarlah sebuah sejarah,tercoretlah sebuah nukilan keramat, tercemarlah keluhuran budi, tersingkaplah kejengkelan akal namun demi Islam,Melayu dan Malaysia,tinta emas ini dicalit buat renungan seluruh umat Islam akhir zaman.

Mungkin bagi sesetengah umat Islam sedang menikmati kebahagiaan bersama keluarga atau sedang beristirehat bagi melunaskan sisa-sisa cuti tahun baru masihi 2013.

Bagi yang masih belum punya ahli keluarga dan tidak pulang ke kampung untuk bercuti seperti penulis, waktu senggang sebegini diisi dengan aktiviti bersama rakan-rakan.

Sebagaimana yang telah dirancang pada hari sebelumnya,penulis bersama sahabat handai bercadang untuk bersama-sama bersiar di sekitar Klang, Putrajaya dan Kajang bagi memanfaatkan peluang yang ada ketika cuti di samping secara tidak langsung dapat mengeratkan ukhuwah yang sedia terjalin diantara penulis dan rakan sekerja.Sebagaimana yang disebut dalam Al Quran melalui maksud ayat tersebut,

“Sebenarnya orang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat”. Al-Hujuraat: 10.

Pada awalnya,penulis bersama rakan yang lain telah ke Harbour Place di Klang bagi memenuhi keinginan masing-masing untuk memiliki barangan berjenama yang dijual pada harga rendah oleh syarikat Al-Ikhsan bersempena jualan akhir tahun atau ‘YES’.

Setelah berpuas hati kerana dapat memenuhi keinginan masing-masing,penulis bersama rakan-rakan menyambung kembara ukhuwah ke Putrajaya.Setelah menempuh beberapa lama perjalanan,penulis bersama rakan sampai di Putrajaya.Keputusan dibuat untuk menjamu selera dahulu di sekitar Presint 9.
Penulis dan rakan-rakan bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dapat memuaskan nafsu makan dan minum setelah beberapa ketika menempuh perjalanan.

Oleh kerana penulis dan rakan-rakan masih lagi belum melunaskan tanggungjawab kepada Allah iaitu fardhu Isyak,penulis dan rakan-rakan membuat keputusan untuk menunaikan solat fardhu Isyak di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin atau Masjid Besi.Kerana walaupun ketika bersosial bersama,penulis dan rakan-rakan masih lagi berpegang kepada ibadah yang telah dipertanggungjawabkan walau berada di mana sekalipun sebagaimana yang disebut dalam potongan ayat di bawah,

وَإِذَا كُنْتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ فَلْتَقُمْ طَائِفَةٌ مِنْهُمْ مَعَكَ

Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka,……(al-Nisa’ [4:102])

Maka bergeraklah penulis dan rakan-rakan ke masjid tersebut dengan harapan dapat menyempurnakan ibadah dan dalam masa yang sama dapat menjejakkan kaki buat pertama kalinya di masjid yang menjadi lambang kemegahan Islam di Putrajaya.

Sesampainya penulis di masjid tersebut,penulis bersama rakan-rakan terpinga-pinga mencari pintu yang tidak berkunci untuk memasuki masjid tersebut oleh kerana didapati semua pintunya dalam keadaan berkunci.

Oleh kerana terlalu lama mengambil masa,maka penulis turun untuk bertanya kepada pengawal keselamatan yang berada di pintu hadapan masjid tersebut.Memulakan perbualan dengan ucapan اسلام عليكم,penulis bertanyakan kepada pengawal keselamatan yang kelihatan segak berpakaian baju melayu serta samping dan songkok itu tentang tujuan asal penulis dan rakan-rakan yang ingin menunaikan fardhu Isyak.

Tetapi sayang seribu kali sayang, ketampanan dan kesegakan pengawal keselamatan berpakaian langsung tidak mencerminkan keluhuran budi beliau. Manakan tidak,tatkala penulis bertanya, ‘bolehkah kami masuk untuk menunaikan solat?’, alangkah terperanjatnya penulis dan rakan-rakan apabila mendengar jawapan dari pengawal itu yang berkata ‘kalau nak solat,pergilah surau’.

Terlintas di benak penulis,bukankah Islam itu diturunkan dengan Maha Indah tanpa cacat celanya,tetapi mengapakah masih ada lagi umat Islam seperti pengawal keselamatan itu yang jelas mencemarkan kesucian Islam?.

Bukankah menjadi tujuan penulis untuk menghina saudara sesama Islam,tetapi penulis dan rakan-rakan-rakan juga punya perasaan sebagai seorang Muslim.

Oleh kerana insiden tersebut berlaku di masjid maka tidaklah menjadi niat penulis untuk menimbulkan suasana yang tidak aman di situ.Bagi mengembalikan fungsi dan peranan masjid penulis dan rakan-rakan memerlukan kepada kesepakatan dan semangat untuk benar-benar mendukung kemakmuran masjid.

Di benak penulis dan rakan-rakan sedang memikirkan bahawa rendahnya ilmu pengetahuan tentang Islam kepada pengawal keselamatan itu bertepatan dengan firman Allah S.W.T dalam surah Az-Zumar
ayat 9 yang bermaksud

“Adakah sama orang yang mempunyai ilmu dan orang yang tidak mempunyai ilmu”‘

Penulis dan rakan-rakan akur dengan layanan pengawal keselamatan tersebut dan terus bertukar arah ke Masjid Putra.

Alhamdulillah,penulis menghargai layanan yang diberikan oleh pengawal keselamatan di Masjid Putra kerana memberikan ruang dan peluang kepada penulis dan rakan-rakan bagi menunaikan fardhu Isyak di masjid tersebut.

Selesai menunaikan solat,penulis dan rakan-rakan mengenakan sepatu masing-masing dan terus duduk di parkir berhadapan Masjid Putra sambil termenung. Jauh di lubuk hati penulis dan rakan-rakan sedang berkecamuk memikirkan nasib umat Islam seperti penulis dan rakan-rakan yang telah diperkotak katikkan oleh saudara seIslam sendiri.

Persoalan dasar yang bermain difikiran adalah atas dasar apakah pembinaan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra jika ianya hanya boleh digunakan atas tujuan lawatan.Bukankah masjid itu adalah tempat suci umat Islam bagi mendirikan solat serta ibadah lain.

Mengapakah keadaan ini harus terjadi?

Mengapakah umat Islam seperti penulis dan rakan-rakan menerima layanan umpama pelarian Rohingya di tanah tumpah darah sendiri?

Sebak dan kecewa yang teramat sangat tidak dapat diungkap dengan kata-kata.
Berbalik kepada kemegahan dan kehalusan senibina Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra,ianya umpama kebanggaan Islam yang diagungkan bagi seluruh umat Islam di Putrajaya khususnya dan seluruh Malaysia umumnya.Tetapi yang menimbulkan ribuan tanda tanya dalam kotak fikiran prnulis dan rakan-rakan,kedua-dua masjid berstruktur mega ini tidak ubah hanya seperti sebuah objek buat halwa mata sesiapa sahaja yang datang ke Putrajaya ataupun hanya sebagai latar belakang kepada gambar yang diambil oleh sekumpulan kutu embun yang berpeleseran di atas Jambatan Seri Wawasan.

Mudahnya Islam itu dilupakan,tidakkah pernah kita menyingkap semula sejarah semasa zaman perdana menteri kelima,iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang mana telah menerapkan nilai Islam Hadhari dalam pentadbiran.Bukankah ketika itu syiar Islam itu sangat agung dan tinggi martabatnya.

Bukanlah menjadi objektif penulis mencoret semula tulisan ini untuk dipolitikkan atau menyai sebarang ideologi,tetapi kebenaran itu harus diutarakan seperti mana sabda Rasullullah S.A.W yang bermaksud,

“berkatalah benar walaupun ianya pahit”,

Masjid itu sendiri adalah institusi yang terlalu tinggi dalam Islam. Adalah menjadi peranan masjid itu untuk dijadikan sebagai pelbagai pusat seperti yang telah difirman oleh Allah S.W.T yang bermaksud,

“Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan.” – (surah Al-Nur, ayat 36-37)

Jadi,satu persoalan yang timbul dan jelas disebut oleh Allah S.W.T dalam Al-Quran berkaitan permasalahan pokok tulisan ini adakah kedua-dua masjid itu dibina hanya atas dasar politik sempit atau hanya untuk lawatan sebagai bukti Islam itu adalah agama rasmi Malaysia,bertepatan dengan firman Allah S.W.T yang bermaksud,

“Janganlah engkau sembahyang di masjid itu (yang dibina oleh orang munafik) selama-lamanya kerana sesungguhnya Masjid Quba yang didirikan atas dasar takwa dari mula (wujudnya), (maka) sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya…”– (Surah Al-Taubah, ayat 108).

Ironinya,rumah Allah tersebut adalah hak bersama kepada merela yang lahiriahnya adalah Islam.Kepada pihak yang bertanggungjawab kepada sebarang institusi masjid,haruslah mereka memikirkan langkah-langkah proaktif,drastik dan berkesan bagi mengembalikan dan meluruskan semula fungsi masjid selaras dengan apa yang telah diajarkan dan disemai ketika zaman Rasulullah S.A.W dan Khalifah.

Adalah difikirkan perlu bagi penambahbaikan yang major dilakukan ke atas Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Masjid Putra agar syiar Islam,roh Iman dan semangat Ibadah oleh sekalian Muslim di Malaysia dapat dibela seterusnya dipertingkatkan.

Pihak berkuasa yang mengawal selia kedua-dua masjid di Putrajaya seharusnya memikirkan tentang keperluan dan kebajikan semua Muslim yang mungkin hadir dari pelbagai kesulitan dan kepayahan.Sebaiknya masjid itu diberi kebebasan penuh penggunaannya sebagai rumah ibadah,bukan sebagai tempat lawatan atau sekadar Gajah Putih Islam.

Sesungguhnya,tiada apa yang lebih dibanggakan oleh umat Islam selain melihat Islam itu bertapak maju dan syiar Islam itu berkembang pesat.Jadi sebagai lambang syiar Islam itu terbela adalah dengan penyatuan hati umat Islam yang berjemaah ke masjid.

Islam telah menggariskan konsep dan sifat-sifat bagi mereka yang dapat mengimarahkan masjid berdasarkan firman Allah dalam surah At- Taubah ayat 18 Yang bermaksud

“Bahawa orang yang memakmurkan masjid Allah ialah orang-orang yang beriman dan hari akhirat, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut ( kepada sesiapa ) selain dari Allah maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.

Adalah menjadi aspirasi penulis dan rakan-rakan yang turut mendepani insiden yang berlaku di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya agar ada pihak yang tampil untuk melaksanakan perubahan yang drastik bagi menyuburkan kembali roh Islam di Putrajaya.

Wallahualam.

tinta emas ini dicoret buat kenangan.

Hasil penulisan saudara Fozi Hassan.

OHTIDAK: INI ADALAH BERKENAAN AGAMA DAN IANYA BUKANLAH TENTANG POLITK. TOLONG USAH POLITIKKAN PERKARA INI YANG BOLEH MENGUNDANG PERGADUHAN DAN PERTENGKARAN. JIKA ANDA TANYA KAMI TENTANG INI, PADA KAMI MEMANG SINONIM MASJID-MASJID BESAR AKAN DITUTUP AWAL BAGI MENJAGA KESELAMATAN DAN PELBAGAI BARANGAN BERHARGA DI DALAM MASJID. JIKA BERMUSAFIR, ELOKLAH AWAL-AWAL SELESAIKAN SOLAT JAMA’ AGAR PERKARA SEBEGINI TIDAK TERJADI. KEPADA PAK GUARD PULA, JAGALAH SETIAP TUTUR KATA. BERIKANLAH PENJELASAN YANG MENYENANGKAN HATI MEREKA YANG TIDAK TAHU. SEKIAN.

+ Lihat respon pembaca di Facebook Oh! Media.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *