Categories
Kemalangan

Oh! Pemandu teksi yang tidak bertanggungjawab

Kami menerima email dari seorang pembaca Oh! Tidak yang berkongsikan tentang kisahnya yang kemalangan dengan sebuah teksi pada 15 Disember 2012 lalu. Bila kami tempatkan diri-sendiri yang berada pada situasi tersebut, siapa yang tidak sedih bercampur marah bila diperlakukan begitu. Kami kongsikan kisahnya untuk anda fikirkan sendiri.

— —

motor

Kata orang, kemalangan tidak berbau. kadang-kadang, kita sudah berhati-hati tetapi akibat kecuaian orang lain, kita pula yang menimpa padahnya. ada kisah kemalangan yang menimpa diri saya baru-baru ini yang mungkin boleh dijadikan pengajaran buat followers-followers Oh! Media

terima kasih, sudi membaca.

“Assalammualaikum. Terima kasih buat sahabat yang tidak putus-putus mendoakan kebaikan buat saya. Semoga Allah merahmati kalian dan saya turut mendoakan kesejahteraan anda semua. Kepada yang masih samar, ini kronologi peristiwa yang berlaku kepada saya. Pada 15 Disember 2012 yang lepas, sekitar jam 10.15 malam motosikal saya bertembung dengan sebuah teksi berhampiran e@Curve Damansara. Saya baru sahaja keluar bersendirian mahu pulang ke rumah di Shah Alam. Keadaan trafik ketika itu cukup sesak memandangkan pengunjung-pengunjung baru sahaja keluar dari kompleks beli-belah tersebut. Dengan berkelajuan sekitar 30-40 km/j, saya menunggang motosikal dengan penuh berhati-hati. Tiba sahaja di persimpangan jalan keluar dari e@Curve, saya lihat sebuah teksi di hadapan saya seolah-olah teragak-agak mahu ke jalan kanan (berhadapan jalan sesak), atau ke jalan kiri (mengikut jalan masuk semula ke e@Curve dan IKEA).

Saya membunyikan hon kepada teksi tersebut supaya lebih peka kepada pengguna jalan raya yang lain, lebih-lebih lagi diri saya yang menghampiri teksi tersebut. Tanpa semena-mena, teksi bernombor pendaftaran HBA6529 tersebut terus masuk ke jalan kiri tanpa memberi isyarat membelok ke kiri. Saya membrek tetapi bertembung juga dengan teksi berkenaan.

Saya tercampak dan terbaring di jalan. Orang-orang awam tampil membantu saya. Pemandu teksi itu keluar dari kereta dan tidak mengaku kesalahannya malah menuduh saya menunggang laju. Mujurlah seorang pemandu teksi yang lain bersama isterinya yang betul-betul berada di belakang saya ketika kejadian menjadi saksi utama. Mereka mengaku nampak pemandu teksi di hadapan saya teragak-agak dan leka pemanduannya. Sementara itu pula, pemandu teksi tadi yang dikenali dengan nama gelaran Nick hanya terdiam. Kononnya dia dalam keadaan tergesa-gesa dan tidak dapat berada di situ kerana mahu mengambil pelanggan yang sedang menunggu. Dia hanya meninggalkan saya sekeping ‘business card’ untuk menyelesaikan hal tersebut kemudian. Bimbang jalan menjadi lebih sesak, masing-masing bersurai. Kebetulan pada waktu yang sama, telefon bimbit saya kehabisan bateri. Jadi, saya tidak berpeluang untuk menghubungi mana-mana rakan terdekat untuk meminta bantuan. Akhirnya, dalam keadaan yang sakit saya menunggang juga motosikal rosak tersebut menuju ke PPUM bagi mendapatkan rawatan. Setelah diimbas X-Ray, mujurlah tiada sebarang tanda-tanda patah atau retak pada tangan kiri saya.

Saya cuma mengalami luka-luka akibat pergeseran dengan jalan tar. Tangan kiri saya juga masih gagal bergerak dengan sempurna akibat bengkak dan terseliuh. Motosikal saya sudah dihantarkan ke bengkel. Saya pula kini berada di Taiping bagi mengikuti rawatan tradisional di sini. Sehingga kini, pemandu teksi tersebut masih enggan menjawab sebarang panggilan telefon mahupun sms daripada saya. Sekali lagi jutaan terima kasih kepada keluarga dan sahabat yang mendoakan saya, juga kepada sahabat yang banyak membantu saya ketika saya susah. Semoga Allah melimpahkan rahmat dan berkat buat anda.” – ku ridhwan

OHTIDAK: SUSAH BILA ADA ORANG YANG BUAT SALAH TAPI TAK MAHU BERTANGGUNGJAWAB NI. SANGAT BIADAP. DAN PEMANDU TEKSI SEPERTI INILAH YANG MEMBUATKAN RESPEK ORANG KEPADA PEMANDU TEKSI LAIN, HILANG. INILAH SEBABNYA!


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *